Sunday, October 10, 2010

Aku Tewas Lagi!

Assalamu'alaikum buat semua pembaca budiman...

Hari ini aku tewas lagi! Kenapa jadi begini? Mungkin anda tertanya-tanya pertandingan apakah yang saya sertai sehingga tertewas lagi? Bola sepakkah? Jawapannya TIDAK.
ersarapan

Begini, pagi tadi selepas hantar anak dan isteri, dalam perjalanan ke tempat kerja singgah sebentar dekat warung 'pohon ceri' Taman Selasih untuk bersarapan. Kebetulan jiran rumah ada di situ bersama dua rakannya yang lain. Jadi, setelah 'order' makan, duduklah semeja bersama mereka. Sembang-sembanglah bersama mereka bermacam-macam topik antaranya kemalangan terbaru antara dua buah bas ekspres, satu van dan tiga kereta di KM 223 Lebuhraya PLUS berhampiran tol simpang Ampat, malam tadi.

Lima belas minit telah berlalu, jiran saya dan seorang rakannya mohon diri untuk pulang terlebih dahulu. Tinggal saya dengan seorang lagi rakannya. Memang tidak pernah bertemu dengannya, apatah lagi mengetahui namanya. Jadi, saya bertanya: "Abang nama apa?" Jawabnya ringkas: "Fendi". Terdetik dalam hati saya, "Mungkin dia ini seorang yang peramah kerana bila ditanya namanya terus menjawab dengan memberi nama yang mesra."

Sempat sembang-sembang sebentar, dia minta diri untuk pulang dan pergi bayar bil makanan di kaunter. Kemudian dia datang bersalaman dengan saya dan berkata: "Dah bayar semua". Jawapan spontan saya: "Terima kasih! Jazakumullah khairan jazak". Walaupun demikian, saya masih lagi konfius, adakah dia dah bayar kesemuanya atau hanya air yang saya minum. Jadi saya pun pergi ke kaunter untuk bayar harga roti canai yang saya makan. Dengan mudah Cashier menjawab: "Sudah bayar". Memang sah, dia dah bayar. Jadi, aku tewas lagi.

Ini kali kedua saya bersarapan di tempat yang sama dan melalui pengalaman yang sama berturut-turut. Sebelum ini Pak Cik Mail, jiran saya yang bayarkan. Memang niat di hati nak bayarkan untuk mereka. Tapi, ternyata mereka lebih pantas. Sungguh mulia hati mereka, berlumba-lumba untuk kebaikkan seperti firman Allah S.W.T.: "Berlumba-lumbalah kamu untuk kebaikan/kebajikan." [Al-Baqarah: 148]


Bertindan Tugas Rugikan Negara

Salam sejahtera buat semua...

Hari ini, selepas membaca satu artikel Profesor Dr. Abdul Aziz Bari bertajuk "Perkhidmatan Awam & Kabinet" membuatkan saya mula terfikir apa yang bermain di fikiran saya ada benarnya. Sebelum ini, setelah kerjaan bersetuju untuk menubuhkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang mula beroperasi pada 30 November 2005 dengan MISInya untuk "Menguatkuasakan undang-undang serta menyelamat nyawa dan harta benda di laut bagi memastikan kesejahteraan peraiaran negara."

Apa yang menariknya? setelah meneliti latarbelakang agensi ini, saya dapati hasrat awalnya adalah sangat baik iaitu setelah satu kajian oleh Kerajaan Malaysia pada April 1999 menunjukkan bahawa penguatkuasaan maritim tidak begitu berkesan kerana terlalu banyak agensi yang terlibat. Hal ini mengakibatkan pertindihan dari segi fungsi dan bidang tanggungjawab serta penggunaan sumber tidak ekonomik. Memang CANTIK!

Tapi, tidakkah kerajaan sedar telah wujud sebuah Pasukan Gerakan Marin Malaysia atau Polis Marin Malaysia yang merupakan satu pasukan keselamatan di dalam cawangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang juga berperanan menjaga keselamatan perairan Negara dari sebarang ancaman yang tidak diingini? Jadi, hasrat kewujudan APMM bagi mengelakkan pertindihan dari segi fungsi dan bidang tanggungjawab serta pengguanaan sumber tidak ekonomik pasti tidak akan tercapai.

Selain itu, pertindihan tugas dan tanggungjawab juga dapat dilihat antara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dengan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), dan kini dilihat seolah-olah JPAM mendominasi tugas yang dikhususkan oleh pasukan bomba kita. Pada awal tahun ini, ketika saya mengikuti satu program yang dikendalikan pihak bomba, salah seorang anggota bomba mengeluh dan menyatakan bahawa mereka kini terpaksa bersaing dengan Pertahanan Awam. Itu baru pertindihan antara agensi-agensi kerjaan, belum lagi diteliti pertindihan antara kementerian yang ada di bawah kabinet Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak.

"Saya rasa antara sebab mengapa perkhidmatan awam jadi gemuk ialah kerana kabinet diperbesarkan tanpa berfikir oleh BN. Agak jelas di bawah pentadbiran BN, Kabinet dibentuk berdasarkan politik dan bukan keperluan Negara. Tegasnya, BN hendak memastikan semua parti komponennya mendapat habuan melalui jawatan menteri, timbalan menteri dan setiausaha parliman. Kabinet yang gemuk itu menyebabkan pembentukan kementerian yang begitu banyak jumlahnya. Ini perlu diberhentikan oleh PR." - Prof. Dr. Abdul Aziz Bari [Rencana/sinarharian.com.my/11.10.2010].