Showing posts with label Al-Quran. Show all posts
Showing posts with label Al-Quran. Show all posts

Saturday, September 5, 2009

Jom Melabur: Amanah Saham Akhirat (ASA)

Jelas kepada kita bahawa dunia ini hanya sementara, tidak kekal lama, dan merupakan 'ladang' bagi Akhirat. Dunia merupakan tempat kita bercucuk tanam dan akan menuai hasilnya yang lumayan di Akhirat kelak. Jika tanaman yang kita tanam itu berkualiti dan bermutu tinggi, nescaya kita akan mendapat habuan dan hasil yang berlipat kali ganda. Begitulah sebaliknya. Balasan di hari Qiyamah nanti pun begitu juga, jika amal ibadah yang kita lakukan di dunia hari ini berkualiti dan memenuhi syarat-syarat serta tuntutannya, nescaya kita juga akan mendapat balasan pahala yang berlipat kali ganda dan habuan Syurga Allah S.W.T.
Justeru itu, salah satu cara untuk kita melabur atau bercucuk tanam di dunia ini ialah dengan melakukan 'infaq' fi sabilillah (di jalan Allah). Apa buktinya? Buktinya dinyatakan sendiri oleh Allah S.W.T. dalam kitab-Nya yang suci, Al-Quran: "Perumpamaan (infaq yang dikeluarkan) oleh orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh butir (yang lain), pada tiap-tiap butir (menghasilkan) seratus biji. Allah melipatgandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan, Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui." [Al-Baqarah: 261]
Jadi, ringkasnya orang yang menginfaqkan (menyumbangkan) hartanya di jalan Allah samada membantu perjuangan menegakkan Islam, peperangan yang melibatkan tentera Islam atau membantu mengeluarkan saudara seaqidah kita daripada belengu kefaqiran dan kemiskinan akan dilipatgandakan pahala (sebagai balasan infaq tersebut) sebanyak sepuluh hingga tujuh ratus kali ganda. MasyaAllah! Pemurahnya Allah S.W.T. Ayuh! tunggu apa lagi, sama-sama kita menginfaqkan harta benda dan jiwa raga di jalan Allah. Mukmin Power!

Monday, July 6, 2009

Buat Baik Dibalas Baik, Buat Jahat Dibalas Jahat

Firman Allah S.W.T:

"Maka barangsiapa yang beramal (dengan amal yang baik) walaupun sebesar zarrah (atom) akan dibalas kebaikan baginya dan barangsiapa yang beramal (dengan amal yang jahat) walaupun sebesar zarrah (atom) akan dibalas dengan kejahatan (dosa)." [Al-Zalzalah: 7-8]

Sebagai manusia kita diciptakan oleh Allah S.W.T. dengan dua tujuan iaitu menjadi hamba dan khalifah-Nya di atas muka bumi ini. Berdasarkan dua tujuan ini kita dituntut untuk melaksanakan Amar Ma'ruf dan Nahi Munkar serta mentadbir alam ini dengan Syariat Islam. Misi kita jelas iaitu buat baik dan hindar kejahatan. Justeru itu, seperti mana yang dinyatakan dalam ayat di atas barangsiapa yang melaksanakan kebaikan walaupun sekecil-kecil biji atom nescaya akan dibalas dengan kebaikan iaitu ganjaran pahala dan sebaliknya.

Memang benar kata orang tua-tua kita "Buat Baik Akan Dibalas Baik dan Buat Jahat Akan Dibalas Jahat." Oleh itu, sebagai seorang mukmin yang beriman dengan Allah S.W.T. dan Rasul-Nya maka sudah pasti wajib ke atas kita untuk membuat kebaikan dan meninggalkan kejahatan untuk menjamin tempat kita di Syurga nanti. Mukmin Power!

Wednesday, May 13, 2009

Jadilah Sebaik-baik Ummah

“Kamu (Wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)…” [Ali-‘Imran: 110]

Hidup di dunia ini tidak bermakna jika kita terjerumus ke lembah kehinaan, kemaksiatan, kefasadan, dan Neraka Jahannam (Na'uzubillah min zalika). Setiap insan secara fitrahnya cenderung kepada kebaikan dan mengimpikan untuk menjadi yang terbaik. Jadi, apakah ukuran yang sebenar untuk menjadi insan yang terbaik di dunia dan akhirat? Ukuran yang paling tepat ialah berdasarkan sumber yang hakiki dan benar iaitu Al-Quran atau Al-Hadis. Terdapat tiga ciri sebaik-sebaik insan atau ummah yang dinyatakan dalam Al-Quran iaitu:
  1. Menyuruh manusia kepada kebaikan (Islam).
  2. Mencegah manusia daripada kemungkaran.
  3. Beriman kepada Allah S.W.T. dengan sebenar-benar Iman.

Tiga ciri inilah yang menjadi asas ukuran kepada apa yang kita katakan 'sebaik-baik ummah' (the best Ummah). Namun, ciri ketiga yang dinyatakan tersebut adalah yang terpenting dan penentu kepada penerimaan sesuatu amal ibadah yang kita lakukan. Tidak ada nilainya jika kita menyuruh manusia melakukan kebaikan dan mencegah mereka daripada kemungkaran tetapi kita tidak beriman kepada Allah S.W.T. Ingat! tanpa IMAN kerja baik kita akan menjadi sia-sia seperti debu-debu yang beterbangan di udara. Justeru itu wahai pembaca budiman berusahalah untuk menjadi yang TERBAIK! Jumpa lagi... Mukmin Power!