Sunday, September 4, 2011

Lillahi Ta'ala ... لله تعالى

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Alhamdulillah, lafaz syukur kita panjatkan kepada Allah Yang Maha Esa kerana kita diberi kesempatan oleh-Nya untuk merasai nikmat Ramadhan dan ganjarannya sekali lagi tahun ini disamping kita dapat meraikan kemenangan menundukkan hawa nafsu sepanjang Ramadhan dengan Aidil Fitri, pada satu (1) Syawal yang lalu. Mudah-mudahan kita dapat tingkatkan ibadah kita dan terus istiqamah melaksanakannya di bulan-bulan lain agar kita benar-benar menjadi hamba Allah yang bertaqwa bukannya menjadi hamba kepada Ramadhan. Barangsiapa yang menjadi hamba Allah nescaya dia akan istiqamah dalam melaksanakan ibadahnya bukan hanya pada bulan Ramadhan saja. Dan barangsiapa yang beribadah kerana Ramadhan saja maka dia menjadi hamba kepada Ramadhan bukan hama Allah Yang Maha Esa. Na'uzubillahi min zalika!

Madrasah Ramadhan

Ramadhan datang dengan seribu satu rahmat dan keberkatan daripada Allah Subhanahu wa Ta'ala untuk mentarbiyah kita menjadi hamba Allah yang benar-benar bertaqwa. Itulah tujuan utama difardhukan ibadah puasa sebulan di bulan Ramadhan kepada kita semua sepertimana firman Allah Subhanahu wa Ta'ala yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa (Ramadhan) sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa." [Al-Baqarah: 183]

Perintah Ikhlas Kerana Allah Ta'ala

"Padahal mereka hanya diperintah menyembah-Nya, dengan ikhlas mentaati-Nya semata-mata kerana (menjalankan) agama, dan juga melaksanakan solat dan menunaikan zakat dan yang demikian itulah agama yang lurus (benar)" [Al-Bayyinah: 5]

Kita sebagai hamba Allah Subhanahu wa Ta'ala diperintahkan supaya mengikhlaskan diri kita dalam melaksanakan segala perintah dan arahan daripada-Nya semata-mata kerana-Nya, bukan kerana yang lain. Jelas sekali!

Virus Materialistik & Agamawan

Sedih! Itulah yang boleh digambarkan dan yang terpahat di lubuk hati pabila mendengar orang-orang kampung bercerita sana-sini tentang 'agamawan' dan 'ilmuan' yang materialistik dan mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan. Cerita mereka bukan fitnah dan omongan kosong, tapi satu realiti dan benar, dan diketahui umum. Tidak perlu saya nyatakan kampung mana? Siapa dia? kerana tulisan ini bukan untuk mengaibkan sesiapa, akan tetapi untuk pengajaran semua yang bergelar agamawan dan ilmuan yang dipandang mulia oleh masyarakat.

Bergelar ustaz, berpengalaman mengajar kuliah berpuluh tahun, menjadi imam sebuah masjid dengan elaun lebih kurang RM800, tetapi tidak menjalankan tugas dengan baik. Masjid mati, tidak berfungsi, solat berjamaah setiap hari tiga (3) ke empat (4) orang sahaja, kadang-kadang dua (2) orang, bilal dan imam (tidak rasmi), kecuali hari Juma'at. Imam rasmi yang dilantik entah ke mana? Mungkin sibuk mengajar. Mengajar sana-sini, di masjid-masjid lain, walaupun jauh sanggup pergi, meninggalkan anak Qaryah terus dalam kejahilan, kerana apa? Masjid sana bayar RM300 sekali kuliah, masjid situ bayar RM250 satu ceramah. Masjid sendiri, dia imam, dapat elaun RM800 pun, diminta bagi kuliah sekurang-kurangnya seminggu pun diminta bayaran lagi, sudahlah tangjawab diabaikan.

Pengajaran berguna buat diri ini dan mudah-mudahan bermanfaat buat semua rakan-rakan, khususnya yang mempunyai pendapatan tetap, sampaikanlah ilmu dan berdakwahlah dengan ikhlas kerana Allah Subhanahu wa Ta'ala bukan kerana wang dan material. Jika yang tidak bekarja dan berpendapatan tetap, tidak salah menerima sumbangan orang atau masjid, tapi berpada-padalah. Jangan kerana wang, masjid atau masyarakat itu didahulukan dan masjid atau masyarakat ini diabaikan. Jadikanlah Rasulullah Sollallahu 'Alaihi wa Sallam sebagai ikutan, berdakwah menyebarkan Islam bukan kerana wang dan material tetapi semata-mata kerana Allah Subhanahu wa Ta'ala. Rasulullah bekerja mencari nafkah disamping berdakwah tanpa mangharapkan habuan dunia, bukan tidak bekarja dan berdakwah disamping mengharapkan habuan dunia.

Semoga Allah Subhanahu wa Ta'ala memberi Taufiq dan Hidayah-Nya kepada kita, mengikhlaskan niat kita semata-mata kerana-Nya, menghindarkan kita dari Virus Materialistik dan memurahkan rezeki kita semua.

No comments:

Post a Comment