Sunday, June 28, 2009

Ikutilah Landasan Yang Benar



مَنْ سَارَ عَلَى الدَّرْبِ وَصَلَ


Maksudnya: '' Barangsiapa yang berada di atas landasan yang benar dia akan sampai (ke destinasinya)

Kejayaan merupakan matlamat yang sukar dicapai tanpa usaha dan mengikut landasan yang tepat (benar). Kadang-kadang kita sudah menghampiri sesuatu kejayaan tetapi jalan yang kita selusuri itu merupakan jalan yang salah, maka dalam sekelip mata sahaja kejayaan akan hilang daripada kita. Jadi, sebagai seorang mukmin kita mestilah memilih dan mengikut jalan yang lurus iaitu ISLAM. Untuk mengecapi nikmat syurga Allah S.W.T. kita mestilah mengikut jalan yang lurus yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad s.a.w., tunduk dan patuh pada perintah Allah serta meninggalkan segala larangan-Nya dan mengikuti sunnah Rasul-Nya.

Jika kita tidak ikut ISLAM, kita pasti SESAT dan ikut jalan SYAITAN. Untuk memahami hikmah ini dengan mudah saya kemukakan kepada semua satu contoh yang mudah difahami sebagai misalnya kita berada di Perak dan hendak menuju ke Kuala Lumpur, akan tetapi kita mengikut jalan menuju ke Perlis. Adakah matlamat kita hendak ke KL tercapai? Sudah tentu tidak bukan? Jadi, begitu juga dengan matlamat Akhirat, memang kita bercita-cita untuk selamat di Akhirat dan masuk Syurga, tapi kita tidak mengikut jalan yang betul dengan melakukan maksiat dan dosa terhadap Allah S.W.T., maka cita-cita tersebut tidak akan tercapai.

Kesimpulannya, jelaslah kepada kita bahawa jika kita mempunyai sesuatu matlamat atau impian yang murni, baik untuk dunia mahupun akhirat, kita mestilah mengikut jalan (landasan) yang betul supaya hajat kita tercapai dengan jayanya. Mukmin Power!

Saturday, May 16, 2009

Jadilah Mukmin Yang Kuat


Sabda Nabi Muhammad s.a.w.: "Mukmin yang kuat lebih baik dan disayangi oleh Allah S.W.T. berbanding Mukmin yang lemah." [Riwayat Muslim]

N
ikmat Iman merupakan antara nikmat terbesar kurnian Allah S.W.T. kepada hamba-Nya. Sudah tentu nikmat ini tidak boleh dipersiakan walaupun sesaat dengan menyekutukan Allah S.W.T. dengan sesuatu, lalai dan leka dalam menunaikan perintahnya serta tidak patuh kepada larangan-Nya. Jika kita mempersiakan nikmat Iman ini dengan perkara-perkara tersebut nescaya kita akan menjadi Mukmin yang lemah dari segi Imannya.

Dalam Hadis yang dinyatakan di atas, Jelas kepada kita bahawa Mukmin yang kuat adalah lebih baik daripada Mukmin yang lemah dan Mukmin yang kuat lebih dicintai oleh Allah S.W.T. berbanding Mukmin yang lemah. Oleh itu, kita semestinya memahami pengertian 'Mukmin Kuat' tersebut dengan fahaman yang meluas dan bukannya dengan fahaman yang sempit. Seorang mukmin mestilah kuat dari segi imannya kepada Allah S.W.T., kuat dari segi pegangan Aqidahnya, kuat dari segi 'aqal pemikiran dan juga ilmunya, kuat dari segi rohani dan jasmaninya dan kuat (baik) dari segi akhlaqnya.

Kesimpulannya, untuk menjadi seorang hamba yang dicintai dan disayangi oleh Allah S.W.T. kita mestilah menjadi Mukmin yang kuat. Jumpa lagi... Mukmin Power!

Wednesday, May 13, 2009

Jadilah Sebaik-baik Ummah

“Kamu (Wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)…” [Ali-‘Imran: 110]

Hidup di dunia ini tidak bermakna jika kita terjerumus ke lembah kehinaan, kemaksiatan, kefasadan, dan Neraka Jahannam (Na'uzubillah min zalika). Setiap insan secara fitrahnya cenderung kepada kebaikan dan mengimpikan untuk menjadi yang terbaik. Jadi, apakah ukuran yang sebenar untuk menjadi insan yang terbaik di dunia dan akhirat? Ukuran yang paling tepat ialah berdasarkan sumber yang hakiki dan benar iaitu Al-Quran atau Al-Hadis. Terdapat tiga ciri sebaik-sebaik insan atau ummah yang dinyatakan dalam Al-Quran iaitu:
  1. Menyuruh manusia kepada kebaikan (Islam).
  2. Mencegah manusia daripada kemungkaran.
  3. Beriman kepada Allah S.W.T. dengan sebenar-benar Iman.

Tiga ciri inilah yang menjadi asas ukuran kepada apa yang kita katakan 'sebaik-baik ummah' (the best Ummah). Namun, ciri ketiga yang dinyatakan tersebut adalah yang terpenting dan penentu kepada penerimaan sesuatu amal ibadah yang kita lakukan. Tidak ada nilainya jika kita menyuruh manusia melakukan kebaikan dan mencegah mereka daripada kemungkaran tetapi kita tidak beriman kepada Allah S.W.T. Ingat! tanpa IMAN kerja baik kita akan menjadi sia-sia seperti debu-debu yang beterbangan di udara. Justeru itu wahai pembaca budiman berusahalah untuk menjadi yang TERBAIK! Jumpa lagi... Mukmin Power!