Sunday, May 23, 2010

ANAK SOLEH: PELABURAN YANG MENGUNTUNGKAN

Oleh: Ibn Bakr Al-Jerluni

Alhamdulillah, bersyukur sangat ke hadrat Allah S.W.T. atas limpahan kurnia dan nikmat yang tidak putus-putus diberikan kepada kita agar menjadi hamba-Nya yang bersyukur, beriman dan bertaqwa. Selawat dan salam ke atas Junjungan Mulia yang dirindui oleh semua umatnya, Muhammad ibn Abdullah S.A.W. ahli kelurga dan para sahabatnya serta pengikut mereka yang setia sehinggalah menjelang Hari Qiyamah.

Didiklah Anak Menjadi Anak Soleh:

Anak-anak merupakan anugerah dan nikmat yang tidak ternilai kurniaan Allah S.W.T kepada hamba-Nya. Permata hati ibu ayah ini akan menjadi saham yang akan memberi keuntungan berlipat kali ganda kepada mereka jika anak-anak ini dibentuk dengan baik dan menjadi anak yang soleh. Tetapi, jika anak-anak ini tidak mendapat pendidikan dan jagaan yang terbaik mengikut acuan Islam, mereka menjadi anak yang tholeh, bahkan saham yang dilaburkan tersebut akan mendatangkan kerugian dan boleh menyebabkan kita menjadi muflis. Na’uzubillahi min zalik!

Sabda Nabi S.A.W.: “Apabila matinya anak Adam, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara; sadaqah jariyah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh.” [Riwayat Muslim] – Jelas daripada hadis ini, anak soleh dapat membekalkan pahala berterusan kepada ibu bapa walaupun kedua-dua mereka telah kembali ke rahmatullah.

Ibu-bapa dan Guru Mencorak Peribadi Anak-anak:

Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah, suci dan bebas daripada anasir-anasir jahat. Maka, ibu-bapalah yang bertanggungjawab membentuk dan mencorakkan peribadi serta kehidupan mereka samada mengikut acuan Islam atau acuan Syaitan, Yahudi dan Nasrani. Sabda Rasulullah S.A.W.: “Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (islam), maka kedua ibu-bapanyalah yang menjadikan dia Yahudi dan Nasrani.” [Muttafaqun ‘alaih] – Hadis ini menjelaskan kepada kita bahawa ibu-bapa mempunyai tanggungjawab dan peranan yang sangat besar dalam membentuk dan mendidik anak-anak. Islam, Yahudi atau Nasrani? Maka beruntunglah ibu-bapa yang memilih acuan Islam dalam mendidik anak-anak.

Selain ibu-bapa, guru juga mempunyai tanggungjawab yang sama untuk membentuk generasi yang soleh. Guru merupakan ‘ibu-bapa’ kepada pelajar-pelajar di sekolah. Justeru itu, ibu-bapa dan guru perlu bergandingan tangan dan bekerjasama untuk mendidik anak-anak, bukan menyerah ‘bulat-bulat’ tanggungjawab mendidik, mengawal dan menjaga mereka tertbeban kepada guru. Jika, anak-anak mempunyai masalah disiplin atau akhlak, sama-sama ada rasa tanggungjawab untuk memperbetulkan mereka, bukannya kedua-dua pihak saling menunding jari menyalahkan pihak yang lain. Berfikiran positif, rasional, bertolenrasi, saling memahami dan bertanggungjawab. Itulah yang terbaik! Bersyukur kepada Allah S.W.T. kerana ada juga insan yang sanggup menjaga dan mendidik anak-anak kita melebihi diri dan keluarga mereka sendiri. Allahuakbar!

Peringatan Tegas Buat Ibu-bapa Daripada Allah S.W.T.:

Firman Allah S.W.T.: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri dan ahli keluarga kamu daripada Api Neraka yang bahan bakarnya ialah manusia dan batu-batu.” [At-Tahrim: 6]. Dalam ayat ini tersemat satu peringatan yang tegas dan merupakan satu ancaman kepada orang beriman (ibu-bapa) agar menjaga dan memelihara ahli keluarga (anak-anak) dengan baik agar mereka tidak dihumban ke Neraka dan lebih malang lagi menjadi bahan bakarnya pula. Na’uzubillahi min zalik!

Sama-samalah kita (ibu-bapa & guru) bergandingan tangan dan saling tolong-menolong antara satu sama lain mendidik, membentuk dan mencorakkan peribadi, akhlak dan masa depan anak-anak agar mereka menjadi anak yang soleh, beriman dan bertaqwa. Amin! – Allahua’alam!

No comments:

Post a Comment

Post a Comment