Monday, August 9, 2010

MADRASAH RAMADHAN AR-RABBANIAH

IKLAN PENTING!

PENGAMBILAN PELAJAR BARU

MADRASAH RAMADHAN AR-RABBANIAH

TARIKH PENDAFTARAN: 1 RAMADHAN 1431 H

TEMPAT: DI MANA-MANA SAHAJA

TEMPOH PENGAJIAN: SEBULAN (1 - 30 RAMADHAN)

SYARAT KELAYAKKAN:

1) ISLAM

2) BALIGH DAN BERAQAL

3) TIDAK ADA UZUR YANG MENGHALANG DARI BERPUASA

PRLBAGAI GANJARAN DITAWARKAN:

PAHALA DILIPATGANDA, DOA DIMAQBULKAN, DOSA DIAMPUNKAN, MENDAPAT RAHMAT ALLAH, DIBEBASKAN DARI API NERAKA DAN ANUGERAH MALAM AL-QADR (LEBIH BAIK DARI 1000 BULAN)

BERMINAT? SILA HUBUNGI MANA-MANA ULAMA', USTAZ/AH DAN GURU AGAMA BERDEKATAN UNTUK KETERANGAN LANJUT

RAMADHAN KAREEM!

SELAMAT MENJALANKAN IBADAH PUASA BUAT SELURUH UMAT ISLAM!

Wednesday, August 4, 2010

MASALAH ZINA & BUANG BAYI: CADANGAN KAHWIN REMAJA BUKAN PENYELESAIAN TERBAIK

Salam sejahtera buat semua pembaca....

Alhamdulillah, syukur di atas nikmat yang melimpah ruah kurniaan Allah S.W.T. kepada kita semua. Jadilah kita hamba Allah yang bersyukur dengan sentiasa berusaha untuk mentajdidkan iman, mengislahkan diri, keluarga dan masyarakat sekeliling kita.

Minggu ini banyak isu menarik yang boleh dibincangkan bersama antaranya ialah mengenai cadangan Kerajaan Negeri Melaka, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) yang bersetuju memberi kelonggaran bernikah kepada pelajar lelaki bawah umur 18 tahun dan bawah umur 16 tahun bagi pelajar perempuan bagi mengatasi masalah atau 'MALAPETAKA' zina dan lahir luar nikah.

Sekali pandang idea ini agak menarik dan lain daripada kotak pemikiran pemimpin-pemimpin UMNO yang lain. Alhamdulillah, ada juga kesedaran daripada pucuk pimpinan Kerajaan Melaka untuk menangani masalah ZINA dan BUANG BAYI yang kian MEMUNCAK bukan sahaja di Melaka tetapi di seluruh Negara. Pertama sekali setiap umat Islam mestilah mengambil berat tentang 'bencana masyarakat' ini dan menganggap masalah ini adalah masalah BERSAMA, masalah UMMAH, bukan masalah peribadi pihak-pihak tertentu. Jangan kita mengambil sikap mementingkan diri sendiri, bak kata pepatah " Kubur Masing-masing, Pandai-pandai Sendiri ".

Namun, setelah meneliti cadangan tersebut saya berpendapat idea yang dilontarkan bukanlah jalan penyelesaian yang terbaik dan tidak akan dapat menangani masalah yang dihadapi. MENGAPA saya berpendapat sedemikian?

Pertama: Sebelum kita memutuskan sesuatu keputusan, tindakan atau dasar bagi menyelesaikan sesuatu masalah atau penyakit yang 'menghantui' masyarakat hari ini, kita mestilah mencari, mengenalpasti, meneliti dan menentukan apakah punca utama kepada merebaknya 'virus' tersebut (root of the problem / real problem). Saya bagi contoh mudah, penyakit membawa maut, DEMAM DENGGI, apakah puncanya? Tentulah pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tahu akan jawapannya, gigitan nyamuk AEDES. Begitulah dengan 'barah' ZINA dan BUANG BAYI, apakah puncanya? Jika diteliti banyak puncanya. Sarang-sarang 'Nyamuk ZINA dan BUANG BAYI' terlalu banyak, antaranya: pergaulan bebas, kelab-kelab malam, konsert-konsert 'buas', pesta-pesta sambutan yang 'melampau', dan lambakan laman-laman web, VCD / DVD, majalah-majalah lucah / porno. Dan jangan LUPA, benteng AQIDAH yang diabaikan juga merupakan PUNCA UTAMA kepada merebaknya 'wabak' ini.

Kedua: Setelah kita mengenalpasti apakah punca utama kepada masalah tersebut, barulah tindakan menyeluruh dan bersepadu diambil bagi 'menghapuskan' terus 'lubuk-lubuk' pembiakan 'penyakit' atau 'virus' tersebut. Seperti contoh di atas, kita telah mengetahui bahawa gigitan nyamuk AEDES adalah punca utama yang menyebabkan merebaknya DEMAM DENGGI di kalangan masyarakat, maka segala tempat-tempat pembiakan NYAMUK tersebut mestilah dihapuskan. Berbalik kepada 'barah' ZINA dan BUANG BAYI, pergaulan BEBAS dan kerapuhan benteng AQIDAH adalah punca utamanya, maka segala 'sarang-sarang' dan 'lubuk-lubuk' yang menjadi tempat pembiakan 'Nyamuk ZINA dan BUANG BAYI' mesti dihapuskan terus. Gerak kerja penghapusan mestilah dioptimimkan, bersepadu dan menyeluruh dan melibatkan semua pihak baik kerajaan, pembangkang, agensi penguatkuasa, NGO dan masyarakat.

Ketiga: Setelah segala keringat dikerah untuk membanteras lubuk-lubuk 'barah' ZINA dan BUANG BAYI' dilakukan, maka langkah seterusnya ialah dengan melipatgandakan aktiviti-aktiviti penanaman dan penyuburan 'benih-benih' baru dengan baja IMAN & TAQWA. Pendidikan (tarbiyah) IMAN & TAQWA ini mestilah bermula dari RUMAH lagi, bukan hanya di SEKOLAH. Maksudnya, pendidikan anak-anak meliputi pendidikan aqidah, ibadah, & akhlaq mestilah bermula sejak dari kecil, bak kata pepatah melayu: "Melentur buluh biar dari rebung". Kemudian, barulah bermula peranan sekolah, masyarakat, kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) dalam membentuk peribadi seseorang anak muda.




Friday, July 30, 2010

Maaf Dipohon Doa Dipinta

Salam sejahtera buat rakan-rakan blogger dan pembaca sekalian...

Pertama: Saya memohon maaf kepada semua kerana sudah lama tidak bergiat aktif dalam dunia penulisan blog kerana menghadapi beberapa kesulitan khususnya masalah talian internet.

Kedua: Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada rakan-rakan yang prihatin dengan masalah yang dihadapi dan tidak serik-serik mengunjungi blog saya serta memberi maklum balas kepada saya melalui khidmat pesanan ringkas (sms).

Ketiga: Saya juga ingin memohon maaf kepada sahabat-sahabat yang memohon supaya di'post'kan gambar 'permata hati' saya yang baru dilahirkan pada tanggal 16 Jamadil Akhir 1430 Hijrah yang lalu kerana tidak berbuat demikian atas sebab-sebab peribadi.

Keempat: Kepada semua rakan-rakan teruskanlah usaha kalian dalam menyebarkan ilmu dan maklumat yang tepat dan berguna kepada masyarakat kita yang kian hari kian dahagakan ilmu.

Sekian, sehingga bertemu lagi...dengan izin Allah! Wassalamu'alaikum.

Sunday, May 23, 2010

ANAK SOLEH: PELABURAN YANG MENGUNTUNGKAN

Oleh: Ibn Bakr Al-Jerluni

Alhamdulillah, bersyukur sangat ke hadrat Allah S.W.T. atas limpahan kurnia dan nikmat yang tidak putus-putus diberikan kepada kita agar menjadi hamba-Nya yang bersyukur, beriman dan bertaqwa. Selawat dan salam ke atas Junjungan Mulia yang dirindui oleh semua umatnya, Muhammad ibn Abdullah S.A.W. ahli kelurga dan para sahabatnya serta pengikut mereka yang setia sehinggalah menjelang Hari Qiyamah.

Didiklah Anak Menjadi Anak Soleh:

Anak-anak merupakan anugerah dan nikmat yang tidak ternilai kurniaan Allah S.W.T kepada hamba-Nya. Permata hati ibu ayah ini akan menjadi saham yang akan memberi keuntungan berlipat kali ganda kepada mereka jika anak-anak ini dibentuk dengan baik dan menjadi anak yang soleh. Tetapi, jika anak-anak ini tidak mendapat pendidikan dan jagaan yang terbaik mengikut acuan Islam, mereka menjadi anak yang tholeh, bahkan saham yang dilaburkan tersebut akan mendatangkan kerugian dan boleh menyebabkan kita menjadi muflis. Na’uzubillahi min zalik!

Sabda Nabi S.A.W.: “Apabila matinya anak Adam, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara; sadaqah jariyah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh.” [Riwayat Muslim] – Jelas daripada hadis ini, anak soleh dapat membekalkan pahala berterusan kepada ibu bapa walaupun kedua-dua mereka telah kembali ke rahmatullah.

Ibu-bapa dan Guru Mencorak Peribadi Anak-anak:

Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah, suci dan bebas daripada anasir-anasir jahat. Maka, ibu-bapalah yang bertanggungjawab membentuk dan mencorakkan peribadi serta kehidupan mereka samada mengikut acuan Islam atau acuan Syaitan, Yahudi dan Nasrani. Sabda Rasulullah S.A.W.: “Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (islam), maka kedua ibu-bapanyalah yang menjadikan dia Yahudi dan Nasrani.” [Muttafaqun ‘alaih] – Hadis ini menjelaskan kepada kita bahawa ibu-bapa mempunyai tanggungjawab dan peranan yang sangat besar dalam membentuk dan mendidik anak-anak. Islam, Yahudi atau Nasrani? Maka beruntunglah ibu-bapa yang memilih acuan Islam dalam mendidik anak-anak.

Selain ibu-bapa, guru juga mempunyai tanggungjawab yang sama untuk membentuk generasi yang soleh. Guru merupakan ‘ibu-bapa’ kepada pelajar-pelajar di sekolah. Justeru itu, ibu-bapa dan guru perlu bergandingan tangan dan bekerjasama untuk mendidik anak-anak, bukan menyerah ‘bulat-bulat’ tanggungjawab mendidik, mengawal dan menjaga mereka tertbeban kepada guru. Jika, anak-anak mempunyai masalah disiplin atau akhlak, sama-sama ada rasa tanggungjawab untuk memperbetulkan mereka, bukannya kedua-dua pihak saling menunding jari menyalahkan pihak yang lain. Berfikiran positif, rasional, bertolenrasi, saling memahami dan bertanggungjawab. Itulah yang terbaik! Bersyukur kepada Allah S.W.T. kerana ada juga insan yang sanggup menjaga dan mendidik anak-anak kita melebihi diri dan keluarga mereka sendiri. Allahuakbar!

Peringatan Tegas Buat Ibu-bapa Daripada Allah S.W.T.:

Firman Allah S.W.T.: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri dan ahli keluarga kamu daripada Api Neraka yang bahan bakarnya ialah manusia dan batu-batu.” [At-Tahrim: 6]. Dalam ayat ini tersemat satu peringatan yang tegas dan merupakan satu ancaman kepada orang beriman (ibu-bapa) agar menjaga dan memelihara ahli keluarga (anak-anak) dengan baik agar mereka tidak dihumban ke Neraka dan lebih malang lagi menjadi bahan bakarnya pula. Na’uzubillahi min zalik!

Sama-samalah kita (ibu-bapa & guru) bergandingan tangan dan saling tolong-menolong antara satu sama lain mendidik, membentuk dan mencorakkan peribadi, akhlak dan masa depan anak-anak agar mereka menjadi anak yang soleh, beriman dan bertaqwa. Amin! – Allahua’alam!

Saturday, September 5, 2009

Jom Melabur: Amanah Saham Akhirat (ASA)

Jelas kepada kita bahawa dunia ini hanya sementara, tidak kekal lama, dan merupakan 'ladang' bagi Akhirat. Dunia merupakan tempat kita bercucuk tanam dan akan menuai hasilnya yang lumayan di Akhirat kelak. Jika tanaman yang kita tanam itu berkualiti dan bermutu tinggi, nescaya kita akan mendapat habuan dan hasil yang berlipat kali ganda. Begitulah sebaliknya. Balasan di hari Qiyamah nanti pun begitu juga, jika amal ibadah yang kita lakukan di dunia hari ini berkualiti dan memenuhi syarat-syarat serta tuntutannya, nescaya kita juga akan mendapat balasan pahala yang berlipat kali ganda dan habuan Syurga Allah S.W.T.
Justeru itu, salah satu cara untuk kita melabur atau bercucuk tanam di dunia ini ialah dengan melakukan 'infaq' fi sabilillah (di jalan Allah). Apa buktinya? Buktinya dinyatakan sendiri oleh Allah S.W.T. dalam kitab-Nya yang suci, Al-Quran: "Perumpamaan (infaq yang dikeluarkan) oleh orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh butir (yang lain), pada tiap-tiap butir (menghasilkan) seratus biji. Allah melipatgandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan, Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui." [Al-Baqarah: 261]
Jadi, ringkasnya orang yang menginfaqkan (menyumbangkan) hartanya di jalan Allah samada membantu perjuangan menegakkan Islam, peperangan yang melibatkan tentera Islam atau membantu mengeluarkan saudara seaqidah kita daripada belengu kefaqiran dan kemiskinan akan dilipatgandakan pahala (sebagai balasan infaq tersebut) sebanyak sepuluh hingga tujuh ratus kali ganda. MasyaAllah! Pemurahnya Allah S.W.T. Ayuh! tunggu apa lagi, sama-sama kita menginfaqkan harta benda dan jiwa raga di jalan Allah. Mukmin Power!