Friday, July 30, 2010

Maaf Dipohon Doa Dipinta

Salam sejahtera buat rakan-rakan blogger dan pembaca sekalian...

Pertama: Saya memohon maaf kepada semua kerana sudah lama tidak bergiat aktif dalam dunia penulisan blog kerana menghadapi beberapa kesulitan khususnya masalah talian internet.

Kedua: Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada rakan-rakan yang prihatin dengan masalah yang dihadapi dan tidak serik-serik mengunjungi blog saya serta memberi maklum balas kepada saya melalui khidmat pesanan ringkas (sms).

Ketiga: Saya juga ingin memohon maaf kepada sahabat-sahabat yang memohon supaya di'post'kan gambar 'permata hati' saya yang baru dilahirkan pada tanggal 16 Jamadil Akhir 1430 Hijrah yang lalu kerana tidak berbuat demikian atas sebab-sebab peribadi.

Keempat: Kepada semua rakan-rakan teruskanlah usaha kalian dalam menyebarkan ilmu dan maklumat yang tepat dan berguna kepada masyarakat kita yang kian hari kian dahagakan ilmu.

Sekian, sehingga bertemu lagi...dengan izin Allah! Wassalamu'alaikum.

Sunday, May 23, 2010

ANAK SOLEH: PELABURAN YANG MENGUNTUNGKAN

Oleh: Ibn Bakr Al-Jerluni

Alhamdulillah, bersyukur sangat ke hadrat Allah S.W.T. atas limpahan kurnia dan nikmat yang tidak putus-putus diberikan kepada kita agar menjadi hamba-Nya yang bersyukur, beriman dan bertaqwa. Selawat dan salam ke atas Junjungan Mulia yang dirindui oleh semua umatnya, Muhammad ibn Abdullah S.A.W. ahli kelurga dan para sahabatnya serta pengikut mereka yang setia sehinggalah menjelang Hari Qiyamah.

Didiklah Anak Menjadi Anak Soleh:

Anak-anak merupakan anugerah dan nikmat yang tidak ternilai kurniaan Allah S.W.T kepada hamba-Nya. Permata hati ibu ayah ini akan menjadi saham yang akan memberi keuntungan berlipat kali ganda kepada mereka jika anak-anak ini dibentuk dengan baik dan menjadi anak yang soleh. Tetapi, jika anak-anak ini tidak mendapat pendidikan dan jagaan yang terbaik mengikut acuan Islam, mereka menjadi anak yang tholeh, bahkan saham yang dilaburkan tersebut akan mendatangkan kerugian dan boleh menyebabkan kita menjadi muflis. Na’uzubillahi min zalik!

Sabda Nabi S.A.W.: “Apabila matinya anak Adam, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara; sadaqah jariyah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh.” [Riwayat Muslim] – Jelas daripada hadis ini, anak soleh dapat membekalkan pahala berterusan kepada ibu bapa walaupun kedua-dua mereka telah kembali ke rahmatullah.

Ibu-bapa dan Guru Mencorak Peribadi Anak-anak:

Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah, suci dan bebas daripada anasir-anasir jahat. Maka, ibu-bapalah yang bertanggungjawab membentuk dan mencorakkan peribadi serta kehidupan mereka samada mengikut acuan Islam atau acuan Syaitan, Yahudi dan Nasrani. Sabda Rasulullah S.A.W.: “Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (islam), maka kedua ibu-bapanyalah yang menjadikan dia Yahudi dan Nasrani.” [Muttafaqun ‘alaih] – Hadis ini menjelaskan kepada kita bahawa ibu-bapa mempunyai tanggungjawab dan peranan yang sangat besar dalam membentuk dan mendidik anak-anak. Islam, Yahudi atau Nasrani? Maka beruntunglah ibu-bapa yang memilih acuan Islam dalam mendidik anak-anak.

Selain ibu-bapa, guru juga mempunyai tanggungjawab yang sama untuk membentuk generasi yang soleh. Guru merupakan ‘ibu-bapa’ kepada pelajar-pelajar di sekolah. Justeru itu, ibu-bapa dan guru perlu bergandingan tangan dan bekerjasama untuk mendidik anak-anak, bukan menyerah ‘bulat-bulat’ tanggungjawab mendidik, mengawal dan menjaga mereka tertbeban kepada guru. Jika, anak-anak mempunyai masalah disiplin atau akhlak, sama-sama ada rasa tanggungjawab untuk memperbetulkan mereka, bukannya kedua-dua pihak saling menunding jari menyalahkan pihak yang lain. Berfikiran positif, rasional, bertolenrasi, saling memahami dan bertanggungjawab. Itulah yang terbaik! Bersyukur kepada Allah S.W.T. kerana ada juga insan yang sanggup menjaga dan mendidik anak-anak kita melebihi diri dan keluarga mereka sendiri. Allahuakbar!

Peringatan Tegas Buat Ibu-bapa Daripada Allah S.W.T.:

Firman Allah S.W.T.: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri dan ahli keluarga kamu daripada Api Neraka yang bahan bakarnya ialah manusia dan batu-batu.” [At-Tahrim: 6]. Dalam ayat ini tersemat satu peringatan yang tegas dan merupakan satu ancaman kepada orang beriman (ibu-bapa) agar menjaga dan memelihara ahli keluarga (anak-anak) dengan baik agar mereka tidak dihumban ke Neraka dan lebih malang lagi menjadi bahan bakarnya pula. Na’uzubillahi min zalik!

Sama-samalah kita (ibu-bapa & guru) bergandingan tangan dan saling tolong-menolong antara satu sama lain mendidik, membentuk dan mencorakkan peribadi, akhlak dan masa depan anak-anak agar mereka menjadi anak yang soleh, beriman dan bertaqwa. Amin! – Allahua’alam!

Saturday, September 5, 2009

Jom Melabur: Amanah Saham Akhirat (ASA)

Jelas kepada kita bahawa dunia ini hanya sementara, tidak kekal lama, dan merupakan 'ladang' bagi Akhirat. Dunia merupakan tempat kita bercucuk tanam dan akan menuai hasilnya yang lumayan di Akhirat kelak. Jika tanaman yang kita tanam itu berkualiti dan bermutu tinggi, nescaya kita akan mendapat habuan dan hasil yang berlipat kali ganda. Begitulah sebaliknya. Balasan di hari Qiyamah nanti pun begitu juga, jika amal ibadah yang kita lakukan di dunia hari ini berkualiti dan memenuhi syarat-syarat serta tuntutannya, nescaya kita juga akan mendapat balasan pahala yang berlipat kali ganda dan habuan Syurga Allah S.W.T.
Justeru itu, salah satu cara untuk kita melabur atau bercucuk tanam di dunia ini ialah dengan melakukan 'infaq' fi sabilillah (di jalan Allah). Apa buktinya? Buktinya dinyatakan sendiri oleh Allah S.W.T. dalam kitab-Nya yang suci, Al-Quran: "Perumpamaan (infaq yang dikeluarkan) oleh orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh butir (yang lain), pada tiap-tiap butir (menghasilkan) seratus biji. Allah melipatgandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan, Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui." [Al-Baqarah: 261]
Jadi, ringkasnya orang yang menginfaqkan (menyumbangkan) hartanya di jalan Allah samada membantu perjuangan menegakkan Islam, peperangan yang melibatkan tentera Islam atau membantu mengeluarkan saudara seaqidah kita daripada belengu kefaqiran dan kemiskinan akan dilipatgandakan pahala (sebagai balasan infaq tersebut) sebanyak sepuluh hingga tujuh ratus kali ganda. MasyaAllah! Pemurahnya Allah S.W.T. Ayuh! tunggu apa lagi, sama-sama kita menginfaqkan harta benda dan jiwa raga di jalan Allah. Mukmin Power!

Saturday, August 1, 2009

Mesti Belajar Daripada Kesilapan

Pepatah Arab ada menyatakan bahawa:

مَنْ لاَ يُخْطِئْ لاَ يَفْعَلْ شَيْئاً

"Barangsiapa yang tidak (pernah) buah kesalahan dia (sebenarnya) tidak melakukan apa-apa (tindakan)."
Syed Khaliluddin merupakan seorang guru Matematik di sebuah sekolah. Pada suatu hari, beliau memberi beberapa latihan sebagai kerja rumah kepada pelajar-pelajar beliau. Akan tetapi, seorang pelajarnya bernama Said tidak menyiapkannya pada keesokkan harinya. Lalu guru pun bertanyalah kepadanya:
Guru : Said! Kenapa kamu tidak siapkan kerja rumah?
Said : Saya minta maaf, saya tak tahu jawapannya.
Guru : Adakah kamu takut jawapan kamu salah?
Said : Saya...
Guru : Lihatlah Said! Kita semua mesti ada kesilapan. Barangsiapa yang tidak buat kesilapan bermakna dia tidak buat apa-apa.
Said : Terima kasih atas nasihat cikgu, saya akan buat sekarang juga.
Guru : Terbaik!!!
Baiklah, apa pengajaran yang kita boleh petik daripada perbualan di atas? Pertama: Barangsiapa yang ingin berjaya jangan takut melakukan kesilapan dalam kerja-kerjanya. Kedua: Setiap manusia tidak terkecuali daripada melakukan kesilapan. Ketiga: Berusaha untuk menjayakan sesuatu perbuatan yang baik lebih mulia daripada tidak buat apa-apa. Justeru itu, kita boleh simpulkan bahawa setiap insan yang bernama manusia pasti akan melakukan kesilapan jua, baik kecil mahupun besar. Nabi s.a.w. pun pernah bersabda: "Setiap anak Adam melakukan kesilapan (dosa), dan sebaik-sebaik orang yang bersalah (berdosa) adalah orang yang BERTAUBAT". Mukmin Power!

Tolong Di Dunia, Ditolong Di Akhirat


Daripada Abi Hurairah r.a. Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Barangsiapa yang mengeluarkan seorang Mukmin satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan Dunia nescaya Allah S.W.T. akan mengeluarkannya satu kesusahan daripada kesusahan Hari Qiyamah. Dan barangsiapa yang mempermudahkan seseorang yang menghadapi kesukaran nescaya Allah S.W.T. akan mempermudahkannya di Dunia dan Akhirat." (Hadis Riwayat Muslim)

Sudah semestinya kehidupan di dunia ini penuh dengan onak dan duri. Memang itu lumrah alam dan merupakan Sunnatullah. Allah S.W.T. yang Maha Bijaksana menjadikan manusia dengan pelbagai latarbelakang, ada kaya ada miskin, dan ada senang ada susah. Diciptakan yang kaya untuk membantu yang miskin, dan diciptakan yang senang untuk membantu yang susah.
Justeru itu, untuk menjadi Mukmin yang kuat di dunia dan akhirat kita mestilah membantu saudara-saudara kita yang menghadapi kesusahan dan kesempitan hidup dengan berusaha untuk mengeluarkan mereka daripada belengu kesusahan tersebut...bersambung.